Puisi Merdeka
MERDEKAKAH KITA
Lima dekad yang lalu
lantang suara pejuang negara
menyusun sintaksis demi satu anugerah
bukan tempik, tapi tuntut
bersandar pada maruah bangsa
berpaksi pada kecintaan tanah tumpah
merdeka kita dambakan.
Lima dekad merangkak pergi
para pimpinan datang dan pergi
menitis jasa, mengalirkan bakti
nikmat mega kita kecapi
cahaya kemajuan terus dicari
moga terpancar ke segenap negeri.
Lima dekad berlalu pergi
tunas harapan masih tercari-cari
terus leka dan terpinga-pinga tidak mengerti
merakus nikmat yang bukan abadi
membina kealpaan tanpa disedari
mencalar dan memamah jati diri.
Salahkan kita merdeka?
Merdekakah kita?
RAMLIE YAACOB
Jengka, Pahang.
NAMAKU MERDEKA
Namaku Merdeka
yang terlaung di rengkung kalbu
muda-mudi
pada detik 31 Ogos yang basah
dalam peluh hangat pesta.
Namaku Merdeka
yang sering dilupakan
dalam keriangan
dan kesibukan menghirup
nikmat kemerdekaan.
Saat kerdip neon terpadam
menyambut September yang tenang
namaku kembali hilang
setelah tamat sambutan.
KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor
7 Ogos 2007
SISI SEBUAH PERJUANGAN
Titis perjuangan yang bergulir desingan mesiu
lalu gegak gempita alam menyulam langit hitam dan merah darah
bertahun-tahun bersandar di bangku kebenaran
maka apa yang bisa dipertahankan
atau dalam rela melepaskan
sedang tirani menggenggam nyali
dan muncung benet hampir menusuk halkum.
Apalah lagi yang tinggal
dalam kesia-siaan ini
di bawah langit nirmala
tanpa gusar
di sisi perjuangan
tanpa noktah
menyeru sukma merdeka.
HISHAMUDDIN ALIAS
Shah Alam
BERTATIH
Kelmarin dan semalam
si kecil itu bertatih lagi
mengarang cerita luka
tersembam telangkup bumi
pecah bibir calar siku koyak lututnya
menangis perit dalam kepedihan
terlena dalam isak sendu
tetap mengulit angan mimpi.
Hari ini
si kecil bertatih lagi
pecah semalam belum bertangkup
calar koyak belum bertaut
kolam mata masih basah
namun si kecil tersenyum riang
kelukaan adalah pengalaman
perit pedih adalah pengajaran
bertatih sesudah ditatih
si kecil tidak lagi bertatih.
MERDU ANDIKA
SL Jias, Pasir Mas.
MEMBELI MASA
Seorang kaya
ingin membeli masa
supaya nyawanya
menjadi versi ke-2.
Digali dunia
7 lubang.
Dia lupa
lubang ke-8
adalah masanya
yang telah dibayar
dengan dosa.
MUAHMMAD IQBAL ASYRAN
Gombak Setia
CATATAN OGOS
Di lakaran imej masa silam
semarak hitam putih kehidupan
terukir indah setiap perjuangan
dari seribu pengorbanan
memuncak budi luhur pahlawan
yang membina semerbak taman
untuk anak-anak kelahiran
bernafas dalam kemerdekaan.
Di kanvas terbentang masa depan
dari titik-titik ruang perjalanan
sejarah dan semasa bertindihan
mewarna corak-corak wawasan
dari kesilapan dan kegagalan
juga kejayaan dan kecemerlangan
mewajah tugu-tugu peringatan
ke destinasi yang penuh kemungkinan.
Di kejauhan, tanah air tersergam di hati
bersama kembara merentas hari
musafir yang mencari rezeki
berbekalkan kerinduan peribadi
dan waja semangat jati diri
walau kekadang keselesaan jasmani
melebar kealpaan sejenak memori
untuk mensyukuri nikmat Ilahi!
FUDZAIL
Twar 3, Dubai
Julai 2007
CINTA INI, OGOS
Telah berkali kau hadir
menabur benih cintamu
yang ranum dan manis
suburkan sepadang diri
pada tanggal sakral
menjadi hari terindah
buat watan yang mengerti.
Cinta ini, Ogos
wangi kasmaran seorang aku
dalam tingkah khusyuk rahmat
gapai sinar cerlang
sebuah rumah bangsa merdeka
bebas dalam acuan rukun
di atas baris atur tersusun
pemuka membuka sejarah
berpadu mesra cinta kita.
Ogos ini cinta yang terpahat
warga setia berpaksi daulat
tunjang kukuh seia muafakat
pada Ilahi pasrah berkat!
RIA ASMIRA
Johor Bahru, 20 Julai 2007.
RAKUS
Kita menjadi rakus
setelah mempunyai kuasa
bersama pangkat
bersama cita.
Kita menjadi rakus
melepasi garisan
setelah semakin jauh ke depan
kita tersungkur setelah
kaki terseradung dengan
akar ketamakan.
ISMAIL HASHIM
Taman Warisan Puteri, Seremban
MALAYSIAKU
Di sini kita bernaung
bumi subur negara makmur
pagi merentang jaring impian
petang menebar jala usaha
dan hasrat tersirat padat
terjejak di denai usia.
Di sini cinta tertumpah
di sini keringat melimpah
tabah terukir di tugu sejarah
demi peradaban dan maruah
mendaulatkan kemerdekaan.
Kita tidak ke mana lagi
menafasi hidup mendepani mati
melafaz ikrar kesetiaan
menjulang panji-panji kemenangan
mengisi wadah kemerdekaan
demi kelangsungan kebebasan.
Oraklah langkah gagah
ke depan menapak gagah
menjangkau kemodenan mengepit warisan
hipokrit runtuhkan patriotik tugukan
itulah azimat keramat
benteng martabat negara berdaulat!
ADNAN AM
Batu Kikir, Negeri Sembilan
KENANGAN
Jadikan jalan ini gerbangnya
lipat kemas memori di dada
simpan sampai tiba waktunya
andai esok masih ada.
Usah hirau berapa lama
kita berdiri menatapi wajah-wajah yang tinggal
fahami pemergian ini mesti dihadapi
bukan diratapi.
Kita yang tinggal
menggali kenangan yang pernah tersemi
mengheret masa kembali
mengutip sisa-sisa harapan
punah dalam dakapan ingatan
terbekas di rantaian kerinduan.
NJ NERI
Klang, Selangor
0 comments:
Post a Comment